Home Artists Posts Import Register

Content

Dalam livechat session kelmarin aku hanya sempat kongsi tips ringkas macam mana nak handle situasi bila kena tangkap polis. Jadi dalam posting ni aku nak kongsi secara detail apa yang korang patut buat kalau korang kena tangkap polis.

Aku tulis panduan ini supaya korang tak menggelabah bila korang kena tangkap polis satu hari nanti. 

1. Kalau kamu ditangkap polis, kamu ada hak untuk buat satu panggilan telefon kepada ahli keluarga dan peguam kamu. Bagitahu mereka pukul berapa, dekat mana dan kenapa kamu kena tangkap.

2. Kalau polis tak bagitahu kamu kenapa kamu ditangkap, kamu ada hak untuk tanya mereka kenapa kamu ditangkap, atas kesalahan apa dan bawah Akta mana.

3. Selepas ditangkap, polis akan bawa kamu ke balai polis yang terdekat. Bagitahu ahli keluarga dan peguam kamu nama dan lokasi balai polis tersebut. Penting untuk peguam hadir semasa kamu disoalsiasat polis. Jika kamu tiada kawan peguam, kamu boleh telefon Pusat Bantuan Guaman (Legal Aid Centre) di negeri kamu untuk minta bantuan peguam. Tengok link ni untuk nombor telefon Legal Aid Centre di negeri kamu: Malaysian Bar Legal Aid Centres 

4. Selepas dibawa ke balai polis, kamu akan disoal-siasat. Mengikut prosedur, polis akan ambil keterangan dan rakamkan percakapan daripada kamu yang kita panggil "112 Statement". Semua benda yang kamu cakap pada polis akan ditulis oleh polis dalam borang 112 Statement. Selalunya pegawai polis yang soal-siasat dan ambil keterangan daripada kamu adalah Pegawai Penyiasat a.k.a. IO (Investigating Officer) khas untuk kes kamu. Dapatkan nama IO dan nombor telefon dia. SMS nama dan nombor IO kepada ahli keluarga dan peguam. Mereka boleh telefon IO untuk bagi tekanan pada IO untuk pastikan kamu tidak dipukul dan dilayan dengan baik.

5. Semasa kamu disoal-siasat, jangan menggelabah. Relaks dan tenang je. Kamu sebenarnya ada hak untuk berdiam diri dan tak perlu jawab apa-apa soalan dari IO atau pegawai polis yang menyiasat. Kamu hanya perlu bagitahu mereka nama kamu, nombor IC, umur, alamat rumah dan pekerjaan kamu.

6. Aku ulang lagi sekali. KAMU ADA HAK UNTUK BERDIAM DIRI DAN TAK PERLU JAWAB APA-APA SOALAN DARI POLIS. Jangan kantoikan diri kamu, jangan kantoikan geng kamu. Don't be a rat. Kamu hanya perlu bagitahu mereka nama kamu, nombor IC, umur, alamat rumah dan pekerjaan kamu. Tidak lebih dari itu.

7. Bila polis tanya kamu soalan-soalan lain, kamu boleh jawab, “Saya akan jawab di mahkamah.” Ini memang jawapan rasmi geng aktivis dan geng Penghasut turun-temurun. Polis tak akan marah kalau kamu jawab macam tu sebab dia pun dah selalu dengar jawapan tu dari kita. Jangan takut. Polis akan tulis "Dia akan jawab di mahkamah" dalam borang 112 Statement kamu.

8. Polis: Siapa pemilik akaun Facebook ni?
Kamu: SAYA AKAN JAWAB DI MAHKAMAH
Polis: Kamu tahu siapa yang mula-mula upload posting ni?
Kamu: SAYA AKAN JAWAB DI MAHKAMAH
Polis: Ya, saya tahu kamu akan jawab di mahkamah, tapi boleh tolong ceritakan sikit pasal posting ni? Kita borak-borak je.
Kamu: SAYA AKAN JAWAB DI MAHKAMAH

9. Kalau ada apa-apa soalan daripada polis yang kamu tak pasti sama ada nak jawab atau tidak, kamu boleh bagitahu polis, “Saya tak boleh jawab sekarang, saya kena check dengan peguam saya dulu.” Atau terus jawab, "SAYA AKAN JAWAB DI MAHKAMAH".

10. Jadi ingat petua ni next time korang kena tangkap polis atau dipanggil untuk bagi keterangan, korang boleh jawab, “SAYA AKAN JAWAB DI MAHKAMAH”, ataupun lebih elok jawab dengan ayat ni, “Saya menolak untuk jawab soalan ini kerana jawapan saya mungkin akan mendedahkan saya kepada pertuduhan jenayah”. Tulis ayat ni dalam buku nota, dan bawa dengan kamu setiap masa. Kalau susah nak ingat, ingat kata-kata hikmat “SAYA AKAN JAWAB DI MAHKAMAH”.

11. Kalau kamu kena pukul dan kena ugut sebab berdiam diri dan tak menjawab soalan, kamu patut terus buat report polis terhadap pegawai polis yang soal-siasat kamu. Buat report polis tu serta-merta dekat balai polis yang sama. Kamu akan terima satu salinan photocopy report polis kamu sebagai bahan bukti. Kamu boleh gunakan untuk saman mereka di mahkamah nanti.

12. Kalau polis tanya dari mana kamu belajar semua ni, kamu boleh jawab kamu belajar dari internet, atau bagitau polis "SAYA AKAN JAWAB DI MAHKAMAH!"

13. Selepas habis disoalsiasat dan bagi keterangan, polis akan minta kamu tandatangan borang 112 Statement kamu. Pastikan kamu baca setiap maklumat yang ditulis oleh polis dalam borang tersebut. Minta polis buat pindaan atau pembetulan kalau ada apa-apa kesilapan sebelum kamu turunkan tandatangan kamu.

14. Sebab kamu ditangkap, polis ada kuasa untuk tahan kamu di balai polis, atau dalam lokap selama 24 jam, atas alasan untuk membantu sisatan polis. Adalah tanggungjawab polis untuk settlekan siasatan mereka dalam tempoh 24 jam dan bebaskan kamu secepat yang mungkin. Jika polis gagal settlekan siasatan dalam masa 24 jam dan perlu tahan kamu lebih lama, mereka perlu bawa kamu depan seorang Magistrate untuk pohon tahanan reman terhadap kamu. Hanya Magistrate yang boleh keluarkan arahan reman. Polis tak boleh sesuka hati tahan kamu lebih daripada 24 jam. Bergantung kepada kesalahan, Magistrate ada kuasa untuk benarkan polis lanjutkan tahan kamu selama 4 atau 7 hari. Kalau polis nak tambah lagi tempoh tahanan kamu selepas itu, mereka perlu bawa kamu depan Magistrate sekali lagi untuk mohon extension.

15. Seperti yang aku kongsikan masa sesi livechat hari tu, cara terbaik untuk hilangkan rasa takut dan jadi lebih berani ialah by knowing your rights. Jadi ingat semua info ni, save dalam telefon, atau catatkan dalam buku nota supaya kamu bersiap-sedia dan tak menggelabah bila polis datang rumah untuk tangkap kamu. Good luck and know your damn rights!




Files

Comments

Anonymous

Baru sempat baca. Very useful, thank you sir

Anonymous

Jarang check Patreon, byk post terlepas. Thank you very much for the tips!